Saturday 27 October 2012

Jengkek Kapal Terbang

Matlamat utama bagi apa jua permainan tentunya tidak lari daripada memberi hiburan dan kegembiraan. Di samping itu, secara tidak langsung wawasan riadah ialah untuk mengeluarkan peluh agar tubuh sentiasa dalam tahap kesihatan yang memuaskan. Namun, untuk menghayati dan menghidupkan sesuatu permainan, kemahiran diperlukan untuk menyesuaikan permainan. Konsep ini cukup terserlah dalam satu permainan laman yang dimainkan di kampung-kampung terutamanya sejak dahulu hingga hari ini. Permainan ini popular dengan nama "Jengkek Kapal Terbang".

Permainan ini boleh dikatakan sudah sebati kepada kanak-kanak perempuan memandangkan sebahagian besar pemain yang mengambil bahagian ialah kanak-kanak perempuan. Namun begitu, tidaklah terlalu janggal sekiranya kanak-kanak lelaki pun turut bermain sama. Namun, "kapal terbang" itu diperolehi daripada petak atau gelanggang itu yang khusus dibina untuk bermain. Gelanggangnya terdiri daripada petak-petak empat persegi yang disusun sedemikian rupa yang menampakkan imej sebuah "kapal terbang". Terdapat lima petak empat segi yang dilakarkan sebaris. Pada petak ke empat terdapat tambahan satu petak lagi di kiri dan satu lagi di kanan yang menimbulkan rupa sekali imbas seperti sayap kapal terbang. Di sebelah kanan pada petak pertama pula terdapat tambahan petak yang berukuran separuh petak yang dipanggil "tangga" yang kelihatan seperti ekor kapal terbang.

Kawasan bermain jengkek ini tidak perlu luas. Memadai jika kawasan itu dapat menampung 8 buah petak. Kanak-kanak perempuan terutamanya tetap menunjukkan kewibawaan mereka. Sedar dan tahu pentingnya keselamatan, mereka memberikan perhatian yang sewajarnya ke atas tapak permainan. Jika terdapat tunggul atau kayu, maka dibersihkan dahulu. Keselamatan tapak perlu dititikberatkan kerana tapak tidak mudah dipindah-pindahkan. Paling kurang, permainan ini dimainkan oleh 2 orang. Jika lebih ramai yang terlibat, tentu lebih seronok.

Sebelum itu "buah" untuk permainan mesti disediakan, ianya diperbuat daripada sesuatu objek yang agak sesuai contohnya kepingan papan penutup botol dan apa sahaja asalkan berat agar hasil lemparan nanti lebih mantap. Bagi menentukan siapa yang layak mula dahulu, satu undian yang unik dijalankan. Masing-masing berdiri bahu-membahu membelakangi garisan tadi. Kemudian masing-masing melempar "buah" secara membelakang, sejauh yang mungkin. Siapa yang jauh mendapat hak bermain yang pertama.

Permainan ini nampak mudah tetapi akan menyusul pelbagai halangan yang semakin lama semakin sukar. Dalam pusingan pertama pemain disyaratkan membawa "buah" dengan cara menatangnya di atas belakang tapak tangan. Jika "buah" terjatuh, pemain dikira "mati". Ini bermakna pemain seterusnya mendapat peluang berjengkek. Jika pemain berjaya menamatkan 9 "ting" dan 2 "Brak" tanpa menjatuhkan "buah", dia perlu melambung "buah" dan menyambutnya secara kaut dengan kedudukan tapak tangan menghala ke bawah.

Kemudian barulah dia berhak mendapatkan "rumah". "Buah" mestilah mendarat di mana-mana petak iaitu dengan melempar membelakangi gelanggang untuk mendapatkan rumah. Dengan itu, pemain lain tidak boleh bertingting lagi dalam petak "rumah" orang. Pemain lain boleh bertingting di petak "rumah" orang dengan kebenaran tuannya.

Nilai juara dalam permainan tingting kapal terbang terletak pada "kemewahan" iaitu banyaknya "rumah" yang berjaya dimiliki seseorang pemain. Malah permainan itu terpaksa ditamatkan apabila semua petak sudah bertukar menjadi "rumah". Namun bukanlah secepat dan semudah itu menukarkan semua petak menjadi "rumah". Seandainya "buah" yang dilemparkan mendarat di "rumah" sendiri, maka rumah itu di kira "hangus" iaitu bertukar menjadi petak semula dan pemain dikira "mati".


Sebenarnya, permainan ini juga ada pengajaran nilai-nilai moral iaitu semangat kerjasama, timbang rasa, tolak ansur, saling menghormati dan kesabaran


Sistem undian yang unik dijalankan. Satu garisan panjang dilakarkan di atas tanah, masing-masing berdiri bahu membahu membelakangi garisan dan melemparkan "IBU" sejauh yang mungkin. Giliran pemain ditentukan dengan melihat jarak masing-masing dari garisan. 

Lakaran gelanggang "Jengkek Kapal Terbang". Nama "Kapal Terbang" itu diperolehi daripada gelanggang yang disusun sedemikian rupa dan merupakan imej sebuah kapal terbang. 

Salah seorang pemain berjengkek dengan membawa "IBU" di atas tangan mengelilingi petak-petak tersebut.

Pemain berjengkek memasuki kesemua petak dan terpaksa melangkah terus dari petak 3 ke petak satu kerana petak nombor 2 sudah ada tuan rumah. 

Permainan Jengkek Kapal Terbang dan juga dikenali sebagai Tinting Kapal Terbang

Sumber rujukan : www.media-kedah.com

Cara permainan Jengkek Kapal Terbang dimainkan.



Sumber Video : www.youtube.com

Friday 26 October 2012

Tuju Para


Tuju Para yang biasanya untuk mengikat bungkusan, dijadikan satu alat istimewa dalam permainan kanak-kanak. Ternyata ilham kanak-kanak begitu kreatif dan memungkinkan apa sahaja objek dijadikan permainan. Mungkin setelah meneliti sifat-sifat gelang getah yang menganjal dan memberi (elastik), tercetuslah ilham untuk mewujudkan sejenis permainan dalam bentuk melastik atau membidas.

Permainan Tuju Para adalah bukti bahawa kanak-kanak memang kreatif dalam mempelbagaikan permainan. Dalam permainan ini, peralatan yang diperlukan ialah sejumlah getah dan dua batang kayu lurus kira-kira 30 cm. Jika tidak ranting atau batang anak kayu sudah memadai. Gelang mudah didapati. Biasanya kedai-kedai runcit memang ada gelang getah. Harganya pun murah. Ini memberi peluang kanak-kanak terbabit bermain dengan selesa tanpa kekangan masalah kewangan.

Dua orang pemain sudah memadai bagi memainkan permainan "Tuju Para". Namun, apalah seronoknya bermain dalam bilangan sekecil itu. Jika bermain beramai-ramai barulah ada semangat hendak bersaing. Permainan ini hanya memerlukan satu kawasan kecil kerana tidak ada pergerakan aktif seperti berlari atau melompat. Bahkan keseluruhan aktiviti agak pasif. Sebelum permainan dimulai, kedua-dua kayu itu dipacak ke tanah dalam keadaan selari. Kayu-kayu itu disebut tiang. Jarak di antara tiang ke tiang bergantung kepada keadaan. Kalau ramai pemain dan banyak getah yang hendak dipasang, jaraknya agak jauh.

Gelang getah yang disidai pada alang hendaklah dipasang pada kedudukan hampir mencecah tanah. Seelok-eloknya 1 inci dari tanah. Bagi membidas gelang-gelang getah yang disangkut di alang, satu alat khas yang dipanggil "getah ibu" diperlukan. "Getah ibu" ini daripada gelang getah juga. "Getah ibu" mempunyai struktur kelapa yang terdiri daripada satu atau beberapa urat gelang getah, bergantung kepada saiz getah ibu. Ia juga dikenali sebagai ‘gundu’. Fungsi kepala ialah untuk menghasilkan anjalan dalam proses membidas.

Menentukan siapa memulakan permainan Tuju Para agak mudah. Para pemain akan berbaris di belakang satu garisan panjang dalam kedudukan selari, bahu-membahu dan menghadap getah-getah yang disidai di alang. Maka pemain yang berbaris di kanan sekali berhak memulakan permainan. Pemain akan menunjukkan ibunya ke arah ratusan getah yang disidai di alang di hadapannya. Misinya ialah membidas gelang-gelang getah itu sehingga bertaburan di atas tanah. Dia perlu memastikan gelang-gelang getah yang jatuh dari alang itu tidak bersentuhan atau berhubung dengan tiang, alang atau mana-mana getah yang masih tersidai di alang.

Biasanya bidasan yang kuat akan membuatkan gelang-gelang getah itu terpelanting atau terlantun dan jatuh berselerak di tanah dalam lingkungan yang luas. Jika bidasan menyipi atau getah ibu terbelit atau terlekat di getah alang, peluang bermain akan tertutup serta merta. Bertuahlah pula peluang pemain yang berjaya menceriakan gelang-gelang getah itu dari alang atau tiang "berkaran". Dia akan mengutip gelang-gelang getah itu dan membilang jumlah gelang getah yang diperolehi adalah jumlah mata diperolehi.

Setelah semua gelang getah disatukan pemain pun ditamatkan. Masing-masing pun membilang mata yang dipungut.

Getah ibu yang tersangkut atau terbelit pada getah alang ini dikira batal dan giliran pemain seterusnya membuat tujuan. 

Salah seorang pemain yang sedang membidas getah yang telah siap disusun. 

Ini adalah contoh "Getah Ibu" (gundu) yang telah siap dibuat dalam tiga saiz. 

Salah seorang pemain membilang dan menyusun getah di atas alang yang telah siap dibuat. 
Sumber rujukan : www.memori-kedah.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagu