Showing posts with label Jenis Permainan Tradisional. Show all posts
Showing posts with label Jenis Permainan Tradisional. Show all posts

Tuesday, 13 November 2012

Konda-Kondi


Konda-kondi adalah salah satu permainan tradisional ciptaan masyarakat zaman dahulu sebagai salah satu cara untuk berhibur dan bergembira setelah penat bekerja. juga dikenali sebagai Perik Mata memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika memikir arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan. Permainan ini memerlukan kawasan lapang.


Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil berukuran, l5cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang.

Undian secara 'wan to som' dijalankan bagi membentuk pasukan dan menetapkan pasukan mana yang harus memainkan terlebih dahulu. Permainan konda-kondi ini merupakan salah-satu permainan yang ringkas dan menyeronokkan.
Kredit foto kepada http://pantheraboy.blogspot.com
CARA PERMAINAN

Permainan Pertama

Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang sementara itu, ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang.

Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata.

Permainan Kedua

Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara, kemudian memukulnya kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat. Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika tidak berjaya. Pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.
Kredit foto kepada http://permainankeciltabika.blogspot.com
Permainan Ketiga

Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan melentik ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah, dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu mengiranya dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai mata tertinggi memenangi perlawanan ini.

UNDANG-UNDANG PERMAINAN

1.      Sepanjang permainan ini, jika kayu pendek itu dapat ditangkap oleh sesiapa dalam kumpulan B, jadi pemain yang menguis kayu pendek dikira ‘mati’.
2.      Jika pemain dalam kumpulan B berjaya menangkap kayu pendek menangkap kayu pendek dengan menggunakan satu tangan sahaja, semua pemain dalam kupulan A dikira ‘mati’ dan kumpulan B akan memulakan permainan pula.
3.      Jika kumpulan lawan berjaya mencampakkan kayu pendek ke dalam lubang, pemain yang menguis kayu pendek dikira ‘mati’ dan kumpulan B akan memulakan permainan pula.
4.      Jika kumpulan lawan berjaya mencampakkan kayu pendek ke dalam lubang, pemain yang menguis kayu pendek dikira ‘mati’ dan terpaksa memberhentikan permainan, pemain lain dari kumpulan yang sama, pemain yang seterusnya pula akan meneruskan permainan.

Perkara Yang Membatalkan Permainan

1. Jika kayu anak dapat disambut oleh penjaga. Pemain dikira  ” mati ”
2. Jika kayu anak yang dilemparkan oleh penjaga mengena kayu ibu atau termasuk lubang, pemain pemain dikira ” mati ” dan permainan terpaksa diberhentikan.
3. Pemain akan dikira mati apabila kayu anak jatuh di suatu tempat yang jaraknya dengan lubang tidak sampai satu ukuran kayu ibu.
4. Pada peringkat ketiga, pemain tidak dapat memukul kayu anak sebanyak tiga kali, pemain seterusnya akan melakukan pukulan.
5. Jika kayu anak terkena badan pemain, satu mata kiraan akan ditolak.
6. Kumpulan penjaga dapat bermain selepas pemain akhir ” mati ”.
Kredit foto kepada http://ladyell.wordpress.com

KIRAAN MATA

Terdapat dua cara mengira mata kemenagan:

1. Mengukur menggunakan panjang kayu ibu. Cara ini adalah cara yang paling banyak digunakan oleh para pemain.
2. Mengira padang atau mengira satu-satu pusingan dengan menentukan masanya. Misalnya selama satu jam.

Sekiranya salah satu kumpulan mempunyai mata yang lebih tinggi berbanding pihak lawan, bermakna pusingan tersebut dimenangi oleh kumpulan yang mengutip mata yang banyak.
Permainan Konda Kondi

Sunday, 11 November 2012

Batu Seremban

kredit gambar buat http://ceriterakasih.blogspot.com

Batu Seremban merupakan salah satu daripada permainan tradisional yang dimainkan oleh kanak-kanak pada masa dahulu. Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih. Permainan ini kebiasaannya dimainkan menggunakan batu dan ia dikenali sebagai 'Buah´. Namun, buah yang digunakan tidak tetap kerana ada kanak-kanak yang menggunakan guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat. Biasanya jumlah buah digunakan oleh kanak-kanak dalam permainan ini sebanyak tujuh atau lima biji.Kebiasaannya, batu seremban ini dimainkan menggunakan tujuh biji objek-objek. Permainan ini sering dimainkan pada waktu lapang diserambi rumah, di dalam rumah atau dimana sahaja yang mereka gemari dengan memerlukan permukaan yang rata dan bersih. Para pemain hendaklah duduk di atas lantai, dengan cara begini memudahkan permainan tersebut dimainkan. Permainan batu seremban sering dimainkan oleh kanak-kanak perempuan, dan adakalanya kanak-kanak lelaki juga tidak ketinggalan bermain permainan ini.

CARA BERMAIN

Terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Permulaan permainan pemain akan menggunakan sebiji buah yang dinamakan Buah Satu sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi yang dinamakan Buah Tujuh.

BUAH SATU

Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas lantai dan tidak bersentuhan antara satu sama lain. Sebiji buah akan diambil untuk dijadikan ibu.Kemudian ibu hendaklah dilambungkan ke udara dan dalam masa yang sama sebiji lagi buah hendaklah dikutip. Seterusnya,pemain hendaklah menyambut buah ibu dan meletakkannya didalam tangan yang sebelah lagi. Perlakuan ini akan berterusan sehingga kesemua buah habis dilambung dan disambut.


BUAH DUA

Cara buah dua dimainkan adalah sama seperti buah satu tetepi buah yang dikutip mestilah dua biji serentak.Ini bermakna dua kali lambungan buah ibu dilakukan.

BUAH TIGA

Seterusnya,buah tiga. Cara bermain buah tiga pula terdapat sedikit perbezaan. Langkah pertama adalah dengan mengutip sebiji buah dahulu,pada lambungan kali kedua pemain hendaklah mengutip tiga bbiji buah serentak.

BUAH EMPAT

Pada peringkat buah empat,pemain akan mengutip kesemua empat biji buah di diatas lantai dan dalam masa yang sama hendaklah menyambut buah ibu yang telah dilambungkan tadi.

BUAH LIMA

Peringkat ini merupakan urutan bagi peringkat buah empat. Sementara di dalam tangan tergenggam lima biji buah,sebiji daripadanya hendaklah dilambungkan dan empat biji lagi hendaklah diletakkan diatas lantai bagi menyambut buah ibu sahaja.
kredit gambar kepada http://ikinzolkifli.wordpress.com
BUAH ENAM

Seterusnya,di tahap ini terdapat perbezaan. Perbezaan ini dinamakan buah tukar,dimana dua biji buah dijadikan buah ibu. Apabila sebiji daripadanya dilambungkan ke udara maka sebiji lagi buah ibu hendaklah ditukarkan dengan buah lain yang terdapat diatas lantai sehingga selesai.

BUAH TUJUH

Buah tujuh adalah urutan dari peringkat buah enam. Dua biji buah yang masih berada di dalam tangan hendaklah dilambungkan serentak. Sementara itu,sebiji buah hendaklah dikutip. Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua belah tangan manakala sebiji di sebelah kanan dan sebiji lagi disebelah kiri. Pada buah ibu yang terakhir dilambungkan,hendaklah disambut.

MENIMBANG

Setelah selesai kesemua peringkat,pemain hendaklah menimbang buah untuk mendapatkan mata. Pada peringkat ini terdapat dua kaedah menimbang buah. Cara pertama sama seperti permulaan menentukan pemain,mata dikira hanya mengikut bilangan biji buah yang dapat ditimbang. Tetapi jika buah yang ditimbang itu disambut dengan cara mencangkuk ,maka mata dikira sekali ganda dari jumlah biji buah yang dapat disambutnya. Sekiranya pemain dapat bermain sehingga ke peringkat menimbang dengan memperolehi mata,maka pemain tersebut boleh meneruskan permainan semula,buah satu dan seterusnya sehingga mati.
MATI PERMAINAN

Sekiranya ibu tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai tangan terkena biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga ibu jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji buah ianya dikira mati (permainan tamat) dan permainan akan diserahkan kepada pemain seterusnya.

PERATURAN PERMAINAN

- Pemain tidak boleh menyentuh buah yang tidak diambil. Sekiranya terkena tangan, dikira batal dan giliran bermain ditukar.
- Dalam langkah menjentik buah, sekiranya dua biji buah yang ditinggalkan pihak lawan terlalu dekat, pemain perlu menggunakan jari untuk memintas antara buahtersebut. Jika terkena jari, maka permainan batal.
- Sekiranya bermain secara berkumpulan atau berdua, giliran diberikan kepada ahli kumpulan lain sekiranya pemain pertama batal dan gagal meneruskanpermainan.
- Pemain yang mendapat giliran kembali perlu memulakan permainan dengan menyambung langkah yang gagal dilakukan sebelum itu. Ahli kumpulan juga perlu berbuat demikian.
- Sekiranya pemain gagal mengingat langkah terakhir yang gagal dilakukan, mata yang dikumpul akan kembali ke angka kosong.
- Pemenang dikira berdasarkan jumlah mata yang dikumpul pada akhir pusingan.

batu seremban

Wednesday, 7 November 2012

Congkak

Kredit malaysiana.pnm.my 
Permainan congkak telah wujud sejak 200 tahun yang lalu di Nusantara atau alam Melayu. Permainan ini dipercayai berasal dari negara Mesir. Negara Mesir terletak di utara benua Afrika. Negara ini terkenal dengan Sungai Nil. Pada masa dahulu congkak menjadi hiburan pada waktu malam setelah penat bekerja di sawah pada waktu siang. Permainan congkak begitu digemari oleh kaum wanita. Manakala anak-anak gadis bermain congkak pada waktu siang. Kini, congkak kurang popular kerana munculnya pelbagai permainan berasaskan internet. Mengikut satu pendapat, terdapat tiga jenis congkak iaitu congkak lima lubang, congkak tujuh lubang dan congkak sembilan lubang. Congkak biasa, badannya diperbuat daripada kayu yang mudah dialihkan ke mana-mana. Selalunya congkak ini dimainkan di dalam rumah, di anjung atau di serambi.

Terdapat juga congkak yang dibuat di atas tanah. Permainan ini adalah daya kreatif kanak-kanak. Mereka mengorek lubang-lubang yang betul-betul menyerupai congkak biasa di permukaan tanah. Berkenaan buahnya pula, pelbagai bahan digunakan. Antara objek yang biasa digunakan ialah biji asam jawa, buah getah, anak-anak batu atau guli kaca. Pendek kata, asal sahaja objek itu dapat menjayakan hasrat permainan, di kira boleh. Apa yang penting bagi kanak-kanak ialah keseronokan bermain bukan keindahan objek itu. Jumlah lubang pada congkak tidak tentu. Ada yang 7, 8, 9, 10 atau 11. tetapi yang paling popular sekali ialah 7 lubang. Jika jumlah lubangnya banyak, tentu sahaja permainannya menelan waktu yang panjang.
Kredit paichorwan-tradisional.blogspot.com
Congkak dimainkan oleh dua orang yang duduk bertentangan. Kalau kanak-kanak perempuan, tentunya mereka bertimpuh dengan sopan. Kalau kanak-kanak lelaki, tentunya mereka bersila sahaja.

Tidak perlu sebarang undian untuk mendapatkan hak memulakan permainan. Permainan dijalankan serentak. Siapa lebih cekap, dia boleh bergerak mendahului lawannya. Pemain boleh memulakan permainan dari mana-mana lubang yang dia suka. Jika ada 1, 2, 3, 4, 5, 6 dan 7 lubang misalnya, maka ada tujuh buah dalam setiap lubang.Lubang-lubang ini dipanggil ‘Kampung Congkak’. Jadi, jumlah buah yang diperlukan adalah 7x7=49. Maka ambil semua buah dalam lubang yang disukai dan lakukan pergerakkan ikut arah pusingan jam. Semasa bergerak, mesti masukkan satu buah ke dalam setiap lubang yang dilalui dan "lubang ibu" (lubang besar dihujung). Hanya satu lubang ibu sahaja bagi setiap pemain iaitu lubang ibu dihujung, di sebelah kiri pemain sahaja.Lubang besar ini juga dikenali ‘Rumah Congkak’.
Kredit bmhasanbashri.blogspot.com
Pemain congkak perlu berfikir, menyusun strategi dan membuat congakkan. Congkak perlukan kecekapan. Individu yang kerap bermain congkak akan cepat mahir. Tidak hairanlah jika ada yang sanggup menghabiskan berjam-jam untuk berlatih berseorangan mengkaji pergerakan "buah" sehingga formula rahsia untuk menjadi juara tersimpul dalam mindanya. Strategi ini bakal digunakan untuk mengalahkan lawan dalam permainan yang akan datang.

Pergerakkan permainan "mati" apabila buah yang digerakkannya habis dilubang yang kosong. Maknanya buah di dalam lubang itu sudah dijalankan sebelumnya. Jika lubang kosong, tempat pemain "mati" itu pada baris di hadapan si pemain, maka buah dalam lubang yang bertentang dengan lubang kosong itu boleh dirampas oleh si pemain dan dimasukkan ke dalam lubang ibu miliknya.


Di akhir permainan hanya tinggal beberapa biji buah di dalam lubang masing-masing. Pemain-pemain dikehendaki menjalankan buah itu mengikut susunan lubang iaitu bermula dari lubang yang berisi buah yang di kanan sekali hingga di hujung dekat lubang ibu secara serentak menuju ke lubang ibu masing-masing. Sesiapa yang habis dahulu buah di dalam lubangnya, dia dikira kalah. 

Video cara bermain congkak.



Sumber Video : www.youtube.com

Saturday, 27 October 2012

Jengkek Kapal Terbang

Matlamat utama bagi apa jua permainan tentunya tidak lari daripada memberi hiburan dan kegembiraan. Di samping itu, secara tidak langsung wawasan riadah ialah untuk mengeluarkan peluh agar tubuh sentiasa dalam tahap kesihatan yang memuaskan. Namun, untuk menghayati dan menghidupkan sesuatu permainan, kemahiran diperlukan untuk menyesuaikan permainan. Konsep ini cukup terserlah dalam satu permainan laman yang dimainkan di kampung-kampung terutamanya sejak dahulu hingga hari ini. Permainan ini popular dengan nama "Jengkek Kapal Terbang".

Permainan ini boleh dikatakan sudah sebati kepada kanak-kanak perempuan memandangkan sebahagian besar pemain yang mengambil bahagian ialah kanak-kanak perempuan. Namun begitu, tidaklah terlalu janggal sekiranya kanak-kanak lelaki pun turut bermain sama. Namun, "kapal terbang" itu diperolehi daripada petak atau gelanggang itu yang khusus dibina untuk bermain. Gelanggangnya terdiri daripada petak-petak empat persegi yang disusun sedemikian rupa yang menampakkan imej sebuah "kapal terbang". Terdapat lima petak empat segi yang dilakarkan sebaris. Pada petak ke empat terdapat tambahan satu petak lagi di kiri dan satu lagi di kanan yang menimbulkan rupa sekali imbas seperti sayap kapal terbang. Di sebelah kanan pada petak pertama pula terdapat tambahan petak yang berukuran separuh petak yang dipanggil "tangga" yang kelihatan seperti ekor kapal terbang.

Kawasan bermain jengkek ini tidak perlu luas. Memadai jika kawasan itu dapat menampung 8 buah petak. Kanak-kanak perempuan terutamanya tetap menunjukkan kewibawaan mereka. Sedar dan tahu pentingnya keselamatan, mereka memberikan perhatian yang sewajarnya ke atas tapak permainan. Jika terdapat tunggul atau kayu, maka dibersihkan dahulu. Keselamatan tapak perlu dititikberatkan kerana tapak tidak mudah dipindah-pindahkan. Paling kurang, permainan ini dimainkan oleh 2 orang. Jika lebih ramai yang terlibat, tentu lebih seronok.

Sebelum itu "buah" untuk permainan mesti disediakan, ianya diperbuat daripada sesuatu objek yang agak sesuai contohnya kepingan papan penutup botol dan apa sahaja asalkan berat agar hasil lemparan nanti lebih mantap. Bagi menentukan siapa yang layak mula dahulu, satu undian yang unik dijalankan. Masing-masing berdiri bahu-membahu membelakangi garisan tadi. Kemudian masing-masing melempar "buah" secara membelakang, sejauh yang mungkin. Siapa yang jauh mendapat hak bermain yang pertama.

Permainan ini nampak mudah tetapi akan menyusul pelbagai halangan yang semakin lama semakin sukar. Dalam pusingan pertama pemain disyaratkan membawa "buah" dengan cara menatangnya di atas belakang tapak tangan. Jika "buah" terjatuh, pemain dikira "mati". Ini bermakna pemain seterusnya mendapat peluang berjengkek. Jika pemain berjaya menamatkan 9 "ting" dan 2 "Brak" tanpa menjatuhkan "buah", dia perlu melambung "buah" dan menyambutnya secara kaut dengan kedudukan tapak tangan menghala ke bawah.

Kemudian barulah dia berhak mendapatkan "rumah". "Buah" mestilah mendarat di mana-mana petak iaitu dengan melempar membelakangi gelanggang untuk mendapatkan rumah. Dengan itu, pemain lain tidak boleh bertingting lagi dalam petak "rumah" orang. Pemain lain boleh bertingting di petak "rumah" orang dengan kebenaran tuannya.

Nilai juara dalam permainan tingting kapal terbang terletak pada "kemewahan" iaitu banyaknya "rumah" yang berjaya dimiliki seseorang pemain. Malah permainan itu terpaksa ditamatkan apabila semua petak sudah bertukar menjadi "rumah". Namun bukanlah secepat dan semudah itu menukarkan semua petak menjadi "rumah". Seandainya "buah" yang dilemparkan mendarat di "rumah" sendiri, maka rumah itu di kira "hangus" iaitu bertukar menjadi petak semula dan pemain dikira "mati".


Sebenarnya, permainan ini juga ada pengajaran nilai-nilai moral iaitu semangat kerjasama, timbang rasa, tolak ansur, saling menghormati dan kesabaran


Sistem undian yang unik dijalankan. Satu garisan panjang dilakarkan di atas tanah, masing-masing berdiri bahu membahu membelakangi garisan dan melemparkan "IBU" sejauh yang mungkin. Giliran pemain ditentukan dengan melihat jarak masing-masing dari garisan. 

Lakaran gelanggang "Jengkek Kapal Terbang". Nama "Kapal Terbang" itu diperolehi daripada gelanggang yang disusun sedemikian rupa dan merupakan imej sebuah kapal terbang. 

Salah seorang pemain berjengkek dengan membawa "IBU" di atas tangan mengelilingi petak-petak tersebut.

Pemain berjengkek memasuki kesemua petak dan terpaksa melangkah terus dari petak 3 ke petak satu kerana petak nombor 2 sudah ada tuan rumah. 

Permainan Jengkek Kapal Terbang dan juga dikenali sebagai Tinting Kapal Terbang

Sumber rujukan : www.media-kedah.com

Cara permainan Jengkek Kapal Terbang dimainkan.



Sumber Video : www.youtube.com

Friday, 26 October 2012

Tuju Para


Tuju Para yang biasanya untuk mengikat bungkusan, dijadikan satu alat istimewa dalam permainan kanak-kanak. Ternyata ilham kanak-kanak begitu kreatif dan memungkinkan apa sahaja objek dijadikan permainan. Mungkin setelah meneliti sifat-sifat gelang getah yang menganjal dan memberi (elastik), tercetuslah ilham untuk mewujudkan sejenis permainan dalam bentuk melastik atau membidas.

Permainan Tuju Para adalah bukti bahawa kanak-kanak memang kreatif dalam mempelbagaikan permainan. Dalam permainan ini, peralatan yang diperlukan ialah sejumlah getah dan dua batang kayu lurus kira-kira 30 cm. Jika tidak ranting atau batang anak kayu sudah memadai. Gelang mudah didapati. Biasanya kedai-kedai runcit memang ada gelang getah. Harganya pun murah. Ini memberi peluang kanak-kanak terbabit bermain dengan selesa tanpa kekangan masalah kewangan.

Dua orang pemain sudah memadai bagi memainkan permainan "Tuju Para". Namun, apalah seronoknya bermain dalam bilangan sekecil itu. Jika bermain beramai-ramai barulah ada semangat hendak bersaing. Permainan ini hanya memerlukan satu kawasan kecil kerana tidak ada pergerakan aktif seperti berlari atau melompat. Bahkan keseluruhan aktiviti agak pasif. Sebelum permainan dimulai, kedua-dua kayu itu dipacak ke tanah dalam keadaan selari. Kayu-kayu itu disebut tiang. Jarak di antara tiang ke tiang bergantung kepada keadaan. Kalau ramai pemain dan banyak getah yang hendak dipasang, jaraknya agak jauh.

Gelang getah yang disidai pada alang hendaklah dipasang pada kedudukan hampir mencecah tanah. Seelok-eloknya 1 inci dari tanah. Bagi membidas gelang-gelang getah yang disangkut di alang, satu alat khas yang dipanggil "getah ibu" diperlukan. "Getah ibu" ini daripada gelang getah juga. "Getah ibu" mempunyai struktur kelapa yang terdiri daripada satu atau beberapa urat gelang getah, bergantung kepada saiz getah ibu. Ia juga dikenali sebagai ‘gundu’. Fungsi kepala ialah untuk menghasilkan anjalan dalam proses membidas.

Menentukan siapa memulakan permainan Tuju Para agak mudah. Para pemain akan berbaris di belakang satu garisan panjang dalam kedudukan selari, bahu-membahu dan menghadap getah-getah yang disidai di alang. Maka pemain yang berbaris di kanan sekali berhak memulakan permainan. Pemain akan menunjukkan ibunya ke arah ratusan getah yang disidai di alang di hadapannya. Misinya ialah membidas gelang-gelang getah itu sehingga bertaburan di atas tanah. Dia perlu memastikan gelang-gelang getah yang jatuh dari alang itu tidak bersentuhan atau berhubung dengan tiang, alang atau mana-mana getah yang masih tersidai di alang.

Biasanya bidasan yang kuat akan membuatkan gelang-gelang getah itu terpelanting atau terlantun dan jatuh berselerak di tanah dalam lingkungan yang luas. Jika bidasan menyipi atau getah ibu terbelit atau terlekat di getah alang, peluang bermain akan tertutup serta merta. Bertuahlah pula peluang pemain yang berjaya menceriakan gelang-gelang getah itu dari alang atau tiang "berkaran". Dia akan mengutip gelang-gelang getah itu dan membilang jumlah gelang getah yang diperolehi adalah jumlah mata diperolehi.

Setelah semua gelang getah disatukan pemain pun ditamatkan. Masing-masing pun membilang mata yang dipungut.

Getah ibu yang tersangkut atau terbelit pada getah alang ini dikira batal dan giliran pemain seterusnya membuat tujuan. 

Salah seorang pemain yang sedang membidas getah yang telah siap disusun. 

Ini adalah contoh "Getah Ibu" (gundu) yang telah siap dibuat dalam tiga saiz. 

Salah seorang pemain membilang dan menyusun getah di atas alang yang telah siap dibuat. 
Sumber rujukan : www.memori-kedah.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagu